Sucikan Dirimu Untuk Dekat Dengan Tuhanmu

Posted On 1:35 AM by MOHD AMIN | 0 comments

Dalam kehidupan ini manusia tidak dapat lari dari godaan dan rayuan SYAITAN yang akan menyebabkan kesengsaraan kepada manusia. Jikalau manusia sudah terjerumus dalam lembah kemaksiatan dan kenistaan maka jelaslah bahawa manusia itu sudah berlumuran dengan dosa dan menyebabkan jiwanya menjadi kotor.

SYAITAN sendiri sudah berjanji kepada kepada Allah s.w.t akan menggoda manusia baik dari depan, belakang kanan dan kiri.

Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini dan aku akan menyesatkan mereka semuanya. (Hijr 39)

Allah s.w.t adalah zat yang suci, bersih tidak dapat didekati oleh sesuatu yang kotor. Oleh sebab itu jiwa yang hendak mendekatkan diri kepada Allah s.w.t haruslah suci dan bersih.

Seseorang yang mempunyai dosa besar, dia tidak akan dapat mendekati Allah s.w.t. Oleh itu untuk mendekati Allah s.w.t dia mesti bertaubat dari dosa besar dan kemudian bertaubat dari dosa-dosa kecil sehinggalah dia suci dari segala dosa.

Manusia haruslah bertaubat dengan sebenar-benar taubat. Imam al-Ghazali menyebutkat 3 syarat seseorang yang bertaubat dengan sebenar-benarnya.

PERTAMA : Menyesali atas perbuatan dosa yang pernah dilakukan.

KEDUA : Mensucikan diri dan mencabut maksiat yang sudah dilakukan. (Kerana tidak ada erti seseorang itu bertaubat tetapi masih lagi melakukan dosa yang sama dan tidak berwaspada).

KETIGA : Membulatkan tekad tidak akan mengulangi lagi perbuatan maksiat selagi hayat masih dikandung badan.

Menurut Imam al-Ghazali jika kesalahannya bersangkut paut dengan dengan hak sesama manusia, maka dia harus melakukan syarat keempat iaitu menyelesaikan perbuatan tersebut terhadap orang yang bersangkutan.

Kesimpulannya setiap peribadi pasti pernah mengalami suatu dosa dan logiknya bahawa manusia tidak ada yang suci. Oleh sebab itu setiap mukmin harus sentiasa bertaubat kepada Allah tanpa henti dan taubat harus diperbaharui pada setiap masa dan kesempatan kerana dosa-dosa yang kita lakukan banyak sekali antaranya dosa kecil atau dosa besar. Ada dosa lahir dan dosa batin serta dosa yang kita ketahui dan tidak kita ketahui.

| edit post